Ko-kurikulum sekolah perlu reformasi

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya bagi Kementerian Pendidikan melakukan reformasi ko-kurikulum untuk memastikan program ko-kurikulum di sekolah-sekolah dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, reformasi yang hendak dilaksanakan itu membabitkan pertambahan peruntukan yang sedia ada.

“Isu ini sering menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan guru yang terlibat kerana aktiviti ko-kurikulum adalah elemen yang penting dalam konteks pembangunan pendidikan dan sokongan terhadap pelajar secara holistik, sebagaimana tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja semasa merasmikan Persidangan Parlimen Ke-15 Penggal Keempat di sini hari ini.

Ahmad Johnie berkata, ko-kurikulum memainkan peranan penting dalam membentuk kemahiran insaniah, kepimpinan dan sahsiah dalam melahirkan para pelajar yang mempunyai nilai-nilai karomah insaniah.

“Namun, kekurangan dana sering menjadi halangan dan cabaran dalam melaksanankan aktiviti ko-kurikulum secara efektif,” tegas beliau.

Beliau membangkitkan isu kekurangan peruntukan untuk aktiviti ko-kurikulum itu kerana kesannya yang ketara dan negatif kepada pelajar dan sekolah.

Sungguhpun Kementerian Pendidikan Malaysia ada menyediakan Bantuan Ko-Kurikulum Sekolah (BKK) dan Bantuan Sukan Sekolah (BSS), katanya. Namun, jumlah amat terhad dan tidak mencukupi untuk menampung kos pelaksanaan berbagai program ko-kurikulum dan sukan di sekolah, lebih-lebih lagi bagi Wilayah Sarawak dan Sabah yang demografinya amat luas dan mencabar.