KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN) akan dijalankan di Kem Regimen 511 Askar Wataniah di Sarawak mulai 2026.
Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin berkata syarat asas yang perlu dipenuhi pelatih program terbabit ialah semua remaja warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia, mencapai umur tidak kurang 16 tahun dan tidak melebihi 35 tahun serta berada dalam keadaan sihat fizikal dan mental.
“Bagi PLKN asas, pelatih-pelatih akan dipilih dalam kalangan remaja Malaysia yang dilahirkan pada umur remaja 18 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi bertanya adakah kementerian berkenaan bercadang mengadakan PLKN 3.0 di Sarawak dan apakah kriteria pemilihan pelatih serta apakah modul latihan yang akan diguna pakai semasa sidang Parlimen di sini, hari ini.
Khaled Nordin berkata, proses pemilihan pelatih dilaksanakan secara kerahan bersyarat dan terbuka kepada pelatih yang menenuhi syarat kelayakan yang ditentukan badan pelaksana PLKN.
Menurutnya, modul latihan PLKN 3.0 dirangka dengan pendekatan menggabungkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan yang bertujuan membentuk generasi berdisplin,berdaya tahan, patriotik dan memiliki kesedaran sivik yang tinggi.
“Latihan asas ketenteraan menekankan latihan fizikal dan mental yang bertujuan membentuk displin, keberanian dan kerjasama,” tambahnya.
Manakala, komponen kenegaraan memberi penekanan kepada pembentukan jati diri, patriotisme dan perpaduan nasional.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Igan, beliau menjelaskan pendidikan peringkat sekolah lebih menekankan aspek asas pendidikan formal yang mempunyai had tertentu terutamanya pengalaman praktikal dalam membina jati diri, semangat patriotisme, displin kerja berpasukan lebih lagi dalam keadaan mencabar.
“Ia masih bersifat asas dan satu bentuk pendedahan awal, PLKN pula lebih menumpu kepada ikhtiar lanjutan dan lebih komprehensif,” katanya.
Di samping itu, katanya PLKN juga menumpukan remaja 16 hingga 35 tahun yang melebihi umur bersekolah dan aspek yang ditekankan bersesuaian umur mereka.
“Ringkasnya program PLKN dan Falsafah Pendidikan Negara sebenarnya mempunyai matlamat yang saling melengkapi dan bukan menunjukkan kegagalan antara satu sama lain,” tambahnya.
