MIRI: Pakar jurutera dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Cawangan Kejuruteraan Cerun akan menjalankan kajian terperinci terhadap struktur Bukit Kanada susulan tragedi tanah runtuh dan hakisan yang berlaku di Kampung Lereng Bukit, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan, kajian ini bertujuan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta mencadangkan langkah mitigasi yang perlu diambil.
“Kita telah meminta pakar dari JKR Cawangan Kejuruteraan Cerun untuk menjalankan kajian menyeluruh dan mencadangkan langkah penyelesaian jangka panjang,” katanya ditemui selepas melakukan lawatan tapak ke Bukit Kanada hari ini.
Setakat ini, empat lokasi di Bukit Kanada dikenal pasti mengalami hakisan serius dan dikategorikan sebagai berisiko tinggi.
Sebagai langkah sementara, kawasan terjejas ditutup bagi mengurangkan kesan hakisan sementara menunggu tindakan lanjut.
Lee Kim Shin turut menasihatkan penduduk serta pengguna jalan raya yang melalui laluan Bukit Kanada agar berwaspada, terutama memandangkan hujan dijangka berterusan selama tujuh hari akan datang.
Bagi menanganinya, jawatankuasa bencana juga disaran untuk melakukan rondaan malam, terutama ketika hujan lebat bagi memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
Pihak berkuasa diarahkan membersihkan sistem perparitan yang tersumbat akibat longgokan sampah.
