Teliti semula status guru opsyen

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa supaya meneliti semula dan mencari penyelesaian yang lebih adil dan profesional terhadap guru opsyen Bahasa Inggeris (BI) yang berstatus kontrak.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, meskipun KPM tidak berkompromi dengan syarat kelayakan calon guru opsyen Bahasa Inggeris bagi memastikan kualiti subjek itu di sekolah mencapai tahap ditetapkan, namun mereka memohon agar satu penyelesaian adil dapat dilaksanakan.

“KPM harus menyelesaikan isu utama ini memandangkan negara masih berhadapan isu kekurangan guru opsyen Bahasa Inggeris berbanding mengenakan syarat menduduki peperiksaan CEFR atau MUET,” katanya membahas usul Menjunjung Kasih Titah Diraja semasa merasmikan Persidangan Parlimen Ke-15 Penggal Keempat di sini.

Ahmad Johnie berkata, beliau merujuk kepada isu dalam kalangan guru-guru opsyen Bahasa Inggeris di Sarawak yang masih berstatus kontrak (Contract of service) hanya kerana mereka belum melepasi syarat Band C1 dalam piawaian CEFR (Common European Framework of Reference) atau Band 5 dalam peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).

Jika mengikut syarat umum pelantikan ke skim perkhidmatan Pendidikan, katanya, guru-guru ini sudah layak dilantik sebagai guru sebab mereka memenuhi keperluan pelantikan ke Skim Pekhidmatan Pendidikan seperti semua guru lain gikut opsyen masing-masing termasuk guru Bahasa Inggeris.

“Keadaan ini menyebabkan guru-guru opsyen Bahasa Inggeris mengeluh, disebabkan syarat yang ditetapkan KPM menampakkan satu bentuk diskriminasi yang sangat jelas terhadap mereka.

“Walhal mereka telah memiliki syarat umum untuk dilantik secara tetap seperti yang disyaratkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) sama seperti rakan-rakan mereka dan opsyen yang lain seperti memiliki Ijazah atau Diploma Pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga bertanya kepada KPM berapakah jumlah kekosongan guru di Sarawak setakat hari ini dan bilakah calon guru pengambilan khas Sarawak akan ditempatkan.

“Berapa orangkah calon guru asal Sarawak yang akan dilantik. Apakah pendekatan dan kriteria yang diambil oleh KPM untuk penempatan mengajar guru-guru ini. Berapa orangkah calon guru dari negeri lain yang akan dilantik dan apakah kriteria pemilihan mereka,” soalnya.

Beliau juga bertanya, bilakah kekosongan jawatan Guru Besar dan Pengetua sekolah-sekolah di daerah Daro akan diisi.

“Perkara ini telah saya bangkitkan dalam persidangan lalu. Kekosongan ini sudah terlalu lama iaitu antara lapan bulan hingga dua tahun tidak diisi,” katanya.

Sekolah-sekolah berkenaan adalah SK Bruan Mapal, SK Orang Kaya Sergunim, SK Sekaan Sekaan Kechil, SK Nanga Semah, SK Tanjung Manis, SK Penibong, SK Salah Kecil, SK Penipah dan SMK Agama Igan ,” katanya.

Ahmad Johnie juga bertanya kepada KPM apakah status pembinaan semula bangunan daif di SK Camporan Daro dan pembinaan tambahan 17 unit rumah guru dan lain-lain kemudahan di SMK Agama Igan yang telah disenaraikan dalam projek Rancangan Boleh Pinda Ketiga (RP3) tahun 2023 RMK-12 Kementerian Pendidikan Malaysia.

Akhir sekali, beliau bertanya kepada Kementerian Kesihatan mengenai status terkini pembinaan projek Klinik Pergigian Daro dan pembinaan projek Klinik Kesihatan Daro yang sudah lama sakit dan tergendala.