KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-268 yang berlangsung di Istana Negara di sini hari ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut menghadiri mesyuarat tersebut.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.
Antara agenda utama yang dibincangkan pada mesyuarat itu adalah taklimat keselamatan oleh Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan disusuli dengan perbincangan rasmi Majlis Mesyuarat Raja-Raja.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Amat Mulia Raja-Raja Melayu, TYT Yang di-Pertua Negeri, serta Ketua-Ketua Menteri dari seluruh negara.
Setelah mesyuarat, TYT Tun Pehin Sri menyatakan harapan agar institusi beraja terus menjadi payung kedaulatan negara, mengukuhkan kestabilan serta keharmonian rakyat, dan berharap setiap keputusan yang dicapai dapat memperkukuh tadbir urus negara, membawa kemajuan dan manfaat berpanjangan untuk agama, bangsa, dan negara.
GAMBAR: ASTANA NEGERI SARAWAK
