KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang mengawasi dari semasa ke semasa substesen bekalan elektrik di seluruh negeri ini semasa bencana banjir.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, ini kerana substesen terbabit perlu dihentikan operasinya sekiranya berlaku banjir bagi menjaga keselamatan orang ramai.
“Sebab nanti kita boleh terkena renjatan elektrik, sebab air adalah konduktor yang baik bagi elektrik, jadi sebab keselamatan kita perlu hentikan substesen di kawasan tertentu,” katanya sewaktu ditemui media.
Julaihi berkata, substesen yang dihentikan dari segi logiknya tidak akan melibatkan kos kepada pengguna elektrik kerana meter elektrik juga tidak dapat berfungsi ketika itu.
Katanya selain itu, bencana banjir melampau yang tidak diduga seperti berlaku di Bintulu juga memberi kesan kepada bekalan air kerana pengambilan air oleh loji rawatan yang terjejas.
Terdahulu, Julaihi bersama timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengadakan lawatan ke projek bekalan air penggantian paip di Jalan Sungai Buah, Taman Sri Permai 2 di sini.
