RM1 bilion ganti paip lama

KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM1.085 bilion bagi menyegerakan projek penggantian dan naik taraf paip lama di seluruh negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek itu membabitkan paip lama yang telah uzur terutama di kawasan yang sering mengalami kebocoran dan tekanan air rendah.

Pelaksanaan projek itu juga untuk menambah baik sistem bekalan di seluruh negeri ini, katanya kepada media semasa melawat tapak Projek Penggantian Paip Skim Rampangi I dan II Bahagian Kuching di Jalan Sungai Buah di sini, hari ini.

Julaihi berkata, projek itu melibatkan penggantian paip sepanjang 2,740 kilometer (km) dan akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

“Pelaksanaan projek ini akan dikendalikan oleh beberapa agensi utama, termasuk Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB), Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Laku Management,” katanya.

Sebanyak 461 projek lagi, katanya, juga akan dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan air di Sarawak lebih cekap dan berdaya tahan.

Di Bahagian Kuching sahaja, tambahnya, sebanyak 24 projek penggantian paip lama sepanjang 59 kilometer dengan peruntukan RM59 juta akan dilaksanakan.

Menurutnya, projek itu akan dilaksanakan oleh JBALB yang lebih tertumpu kepada kawasan pinggir bandar dan LAK yang menguruskan bekalan air di bandar.

Bagi projek yang dikendalikan oleh JBALB, katanya, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun pertama.

“Pada 2024, sebanyak sembilan projek melibatkan 42 km paip dengan peruntukan RM10.9 juta akan dijalankan.

“Tahun berikutnya, enam projek membabitkan 6.8 kmw paip dengan kos RM2.2 juta akan dilaksanakan, disusuli sembilan lagi projek sepanjang 33.3 kilometer dengan peruntukan RM4.5 juta pada tahun 2026,” katanya.

Salah satu kawasan yang terlibat dalam projek itu, katanya, ialah Rampangi, yang merupakan antara tiga lokasi di kawasan Pantai Damai yang menerima manfaat daripada projek penggantian paip ini.

Manakala, dua lagi lokasi yang terlibat ialah Kampung Buntal dan Kampung Santubong.

“Projek penggantian paip lama di Rampangi berharga RM1.6 juta dan dimulakan sejak November tahun lalu.

“Dengan tempoh pelaksanaan selama enam bulan, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun ini,” jelas Julaihi sambil menambah kemajuan projek kini telah mencapai lebih 60 peratus, lebih awal daripada jadual asal.

Hadir sama, timbalan beliau Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.