UKAS turun padang perjelas insiatif kerajaan

SIBU: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di seluruh Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, program itu adalah sebagai usaha untuk menerangkan inisiatif bantuan kerajaan kepada rakyat.

Sebanyak 72 Pusat Khidmat ADUN dan 22 Pusat Khidmat Ahli Parlimen akan terlibat dalam program tiga siri yang akan diadakan tahun ini, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Taklimat Pendaftaran Sarawak ID dan Permohonan Penerima SKAS Bersama Pusat Khidmat ADUN dan Parlimen di Pustaka Negeri Sarawak, Sibu.

“Terdapat banyak inisiatif bantuan kerajaan yang tidak diketahui oleh orang ramai. Justeru, kita perlu turun padang untuk menjelaskannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, program tersebut tidak hanya terhad kepada SKAS sahaja.

“Ia merangkumi pelbagai kementerian di Sarawak yang menawarkan bantuan kerajaan seperti Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, tujuan program tersebut untuk memastikan semua pegawai yang bertugas di Pusat Khidmat ADUN dan Ahli Parlimen mendapat maklumat yang tepat tentang apa yang dilaksanakan oleh kerajaan.