DUBAI: Kerajaan Sarawak melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) terus memperluaskan pelaburan dalam tenaga hijau dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR).
Majlis menandatangani MoU disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama-sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semasa Persidangan Ke-28 Pelbagai Pihak (COP28) di Dubai hari ini.
MoU itu akan membuka jalan kerjasama antara kedua-dua entiti dalam pembangunan tenaga bersih di Sarawak sebagai sebahagian daripada inisiatif ekonomi hijau negeri selaras dengan semangat perbincangan yang diadakan sebelum ini antara Premier Sarawak dan pegawai atasan MASDAR.
Terdahulu, Premier Sarawak dan Awang Tengah mengadakan pertemuan ringkas dengan MASDAR yang menyentuh mengenai prospek pelaburan bersama syarikat itu dalam usaha mengangkat Sarawak sebagai hab serantau bagi tenaga bersih di Asia Tenggara.
MASDAR merupakan salah sebuah syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia dan merupakan peneraju hidrogen hijau yang telah meletakkan UAE di barisan hadapan dalam peralihan tenaga.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.
