Perkhidmatan Awam Sarawak perlu idea strategik, signifikan capai visi 2030

KUCHING: Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) perlu mengetengahkan idea strategik yang signifikan sebagai usaha memperkuatkan kejayaan yang dikecapi Sarawak hari ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kejayaan ini tidak dinafikan adalah hasil kerjasama SCS yang bergerak dalam sebuah pasukan dalam menjayakan inisiatif kerajaan negeri.

“Saya perlu mengatakan di sini bahawa kejayaan setakat ini adalah hasil sokongan perkhidmatan awam di belakang kami.

“Maka sekarang ini, kita memerlukan idea strategik yang signifikan dan penting untuk meningkatkan apa yang kita nikmati kini. Sudah tentu menjelang tahun 2030, kita dapat mencapai apa yang kita cita-citakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Jabatan Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Abang Johari menambah, SCS juga perlu bersedia dalam menghadapi cabaran masa hadapan terutamanya dalam keadaan yang tidak menentu hari ini.

“Kita perlu menjadi tangkas dan
mesti bertindak dengan cepat, pada masa sama, kita mesti berusaha mengatasi masalah yang sedang kita hadapi,” ujar Abang Johari.

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, ketua-ketua jabatan serta tetamu kenamaan yang lain.