KUCHING: Sektor penerbangan Sarawak melakar sejarah baharu susulan pengambilalihan sepenuhnya syarikat penerbangan MASwings dari Malaysia Avation Group (MAG).
Detik bersejarah itu dilakar hari ini pada Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara Kerajaan Sarawak dan MAG di Hotel Hilton di sini.
Susulan pengambilalihan tersebut, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan penjenamaan baharu syarikat penerbangan itu dikenali AirBorneo.
Dalam amanatnya, beliau berkata AirBorneo bersedia untuk mewujudkan keseimbangan antara ketersambungan, tambang berpatutan dan faedah ekonomi.
Beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), AirBorneo katanya boleh meningkatkan dengan ketara pengalaman penumpang melalui perkhidmatan dalam penerbangan yang unggul, sekali gus menekankan prestij serantau Sarawak sebagai premium destinasi pelancongan.
“AirBorneo akan meningkatkan lagi ketersambungan kami di peringkat domestik dan antarabangsa.
“AirBorneo sudah tentu akan menumpukan Perkhidmatan Udara Luar Bandar dan secara progresif pada destinasi dalam radius empat jam, sebelum berkembang lebih jauh pada masa depan, jika pasaran perjalanan memerlukannya.
“AirBorneo, sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh, akan terlibat perkongsian strategik dan perjanjian perkongsian kod dengan pihak syarikat penerbangan lain antarabangsa termasuk Malaysia Airlines kami sendiri.
“Selain itu, meluaskan lagi capaian rangkaian dan menambah baik global perhubungan untuk Sarawak,” jelasnya.
Menurut Abang Johari, AirBorneo dijangka menawarkan lebih pelbagai dan peluang pekerjaan khusus dari perkhidmatan pelanggan hingga peranan teknikal lanjutan, yang boleh menyumbang ke arah kemahiran peningkatan dan pembangunan bakat di Sarawak.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir dan tetamu kenamaan lain.
