Sarawak hab penerbangan Borneo, pintu masuk ASEAN

KUCHING: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk MASwings hari ini memetari Perjanjian Jual Beli dengan Kerajaan Sarawak untuk memindahkan pemilikan MASwings secara rasminya.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki menandatangani perjanjian itu bagi pihak Kerajaan Sarawak dan MAG diwakili oleh Pengurusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail sambil disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan ahli Lembaga MAG, Dato Amirul Feisal.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin.

Berucap pada majlis itu, Abang Johari yang mengumumkan penerbangan baharu Sarawak itu sebagai AirBorneo berkata, dengan mengambil langkah strategik itu, akan meletakkan Sarawak sebagai hab penerbangan Borneo dan pintu masuk ASEAN.

Beliau berkata, Sarawak turut membuka pintu kepada peluang baharu dan meningkatkan lagi kemudahan dan kesalinghubungan ke destinasi domestik dan antarabangsa.

“Ini akan memberi faedah besar kepada masyarakat perniagaan tempatan, membangunkan potensi pelancongan dan menarik pelaburan,” tegas beliau.