KUCHING: Ahli-ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memikul tanggungjawab besar untuk memastikan parti itu terus kuat, dihormati dan menjadi tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mempertahankan hak serta kemajuan Sarawak.
Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, namun ahli-ahli tidak boleh leka kerana masa depan Parti PBB penuh cabaran.
Sejarah telah membuktikan bagaimana parti politik boleh menjadi kuat, berkuasa, tetapi akhirnya berpecah dan kehilangan pengaruh, katanya merasmikan Perhimpunan Agung Ke-16 Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung itu menegaskan, ahli-ahli parti harus berwaspada terhadap anasir luar dan dalam yang iri hati dengan kekuatan Parti PBB.
“Sebagai ahli Parti PBB, kita harus bersatu hati. Jangan sesekali membiarkan perpecahan berlaku kerana perpecahan hanya melemahkan parti.
”Hormatilah satu sama lain, elakkan perbalahan dalaman. Jangan menjadi batu api atau membawa isu perkauman yang boleh memecah-belahkan kita.
”Hargai kepelbagaian budaya, agama dan asal usul ahli-ahli dan bersikap adil kepada semua dan terus memperjuangkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Uggah turut menggesa kepimpinan parti di peringkat cawangan dan ranting supaya memain peranan aktif dalam menyampaikan maklumat mengenai program dan bantuan Kerajaan GPS, khususnya di bawah Belanjawan 2025.
Falsafah perjuangan Parti PBB bukan sekadar meraih kemenangan dalam pilihan raya, katanya, tetapi lebih jauh dari itu iaitu komited untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Sarawak.
Justeru, tambahnya, ahli-ahli parti harus turun padang dengan kerap untuk berinteraksi dengan rakyat dan mendengar permasalahan mereka.
Selain menganjur program bersama rakyat supaya mereka merasakan kehadiran dan keprihatinan parti, katanya, ahli-ahli juga harus bersikap inklusif dalam membantu rakyat tanpa mengira latar belakang.
”Kita akan berhadapan dengan corak baharu pengundi susulan sistem pendaftaran automatik. Jumlah pengundi di Sarawak telah bertambah.
“Pada 2022, pengundi Sarawak bertambah 59.4 peratus iaitu seramai 1,945,074 pengundi.
Pada 2024 pula, bilangan pengundi meningkat kepada 2,008,347 pengundi. Daripada jumlah itu, 129,612 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun dan 839,910 pengundi berusia 21 hingga 39 tahun.
“Wanita Parti PBB ada peranan penting untuk mendekati serta sentiasa mengingati mereka tentang peranan besar dalam pembangunan parti dan pembangunan Sarawak.
”Kepada Pemuda dan Belia, sila beri perhatian kepada kumpulan umur pengundi tertabit. Undi belia amat penting untuk kejayaan dan ketahanan parti PBB,” katanya.
Beliau menggesa kumpulan belia agar sentiasa turun padang dan bersifat inklusif kepada golongan belia kerana mereka akan menentukan kekuatan parti dan masa depan Sarawak.
”Kita pantang dicabar! Kita bersatu dalam perjuangan dan akan menghadapi apa jua cabaran dengan semangat “Agi Idup, Agi Ngelaban!”
”Apa pun rintangan yang datang ribut, petir, atau gelombang politik — kita tidak akan gentar! Kita akan terus mempertahankan Parti PBB dan GPS sebagai benteng utama kemakmuran Sarawak,” katanya.
“Perhimpunan Agung ini adalah peluang untuk ahli-ahli membincangkan langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan lagi Parti PBB supaya terus kuat dan relevan untuk meneraju Kerajaan Sarawak.
”Bersama, kita pastikan Parti PBB terus menjadi tonggak kemakmuran, kemajuan, dan kelestarian Sarawak,” tegas Uggah.
Hadir sama Timbalan Yang di-Pertua PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Datuk Amar Mohd. Asfia Awang Nassar, Setiausaha Agung parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ketua Wanita, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Ketua Pemuda, Miro Simuh.
