KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) siap siaga untuk menghadapi cuaca buruk bagi mengelak berlaku bencana alam seperti yang berlaku di Bintulu baru-baru ini.
Pengerusi JPBNS yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas percaya keadaan yang tidak menentu ini masih belum berakhir memandangkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka tamat pada Mac ini.
“Kita berdoa agar ia tidak akan berlaku lagi. Tetapi, apa pun keadaannya, JPBNS sedang bersiap sedia menghadapinya kerana sekarang, kita masih dalam tempoh jangka panjang, sehingga bulan Mac jadi kita tidak tahu.
“Cuaca ini sukar dijangka. Kita mahu sentiasa selamat. Kadang-kadang kita dikejutkan, seperti apa yang berlaku di Bintulu maka sebab itu, kita sedang menambah semula stok, menggerakkan semula semua jentera untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas penggulungan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.
Tambahnya, bantuan RM1,000 kepada ketua isi rumah (KIR) akan dikredit melalui akaun bank mangsa.
