KUCHING: Kaedah baharu pembayaran zakat fitrah diperkenal oleh Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
Kaedah baharu itu menerusi pembayaran melalui kod QR kepada Amil Zakat Fitrah Bahagian Kuching.
Ia merupakan kerjasama TBS dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) .
Pengurus Besar TBS, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, kaedah itu bagi memudahkan urusan pembayaran zakat fitrah yang lebih selamat dan terkawal.
“Inisiatif ini akan digunakan mulai bulan Ramadan hingga penghujung Ramadan ini.
“Kita tahu masyarakat pada masa kini telah biasa membuat pembayaran menggunakan kod QR dan sebagainya. Jadi, kaedah ini akan memudahkan kedua-dua pihak dalam urusan kutipan zakat fitrah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat dan bengkel Amil Zakat Fitrah Bahagian Kuching di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, TBS akan melaksanakan penggunaan kod QR oleh Amil di Bahagian Kuching sahaja pada tahun ini dan hanya akan diguna di seluruh Sarawak bermula 2026.
“Untuk tahun ini, kita memilih Kuching sahaja kerana tidak sempat untuk mengumpulkan semua amil di seluruh bahagian. Ini juga adalah satu model perintis dan sekiranya berjaya, kita akan perluaskan di bahagian lain,” tambahnya.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan zakat fitrah, beliau memaklumkan ia masih belum ditetapkan dan akan dimaklumkan oleh Majlis Islam Sarawak dalam masa terdekat.
Pada majlis sama, TBS turut menerima bayaran zakat perniagaan daripada TM Technology Services berjumlah RM509,262 yang disampaikan oleh Pengurus Besar TM Sarawak, Abdul rahman Taha kepada Abang Shibli.
Untuk rekod, setakat Januari 2025, TBS telah mengagihkan bejumlah RM8.30 juta kepada asnaf-asnaf yang layak melalui empat program utama iaitu Program Mengukuhkan tradisi keilmuan, Program membangunkan Institusi Islam, program Memantapkan kebajikan Ummah dan Program Peningkatan Kemahiran Ummah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar TBS, Bolhassan Iskandar Taibi, Pengarah Saluran Pengurusan Tunai BIMB, Jasarudin Sahak.
