KUCHING: Pemilik tanah khasnya di kawasan Samarahan berdekatan dengan cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Tanjung Embang, diingatkan agar tidak terlalu ghairah untuk menjual tanah.
Menurut Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, setiap kali ada pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jambatan atau jalan raya, harga tanah akan melonjak samada di bandar mahupun luar bandar.
“Apabila prasarana dibina, pembangunan meningkat. Maka, harga tanah akan naik dan mereka yang berpandangan jauh, akan cepat membeli terutama tanah yang mempunyai geran.
“Di sini, kita berharap agar penduduk luar bandar supaya bertahan dengan tanah mereka dan jangan terlalu teruja atau ghairah untuk menjual tanah demi mendapat keuntungan cepat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak hari ini.
Abdul Karim berkata, kebiasaannya ada di antara tanah berharga RM10,000 hingga RM20,000 seekar akan ditawarkan berganda harganya.
Namun katanya, sebaik sahaja prasarana ada nanti, kemungkinan harga tanah yang sudah dibeli itu meningkat 20 hingga 30 kali ganda, malah mungkin mencecah ratusan ribu seekar sebaik sahaja ada pembangunan dilaksanakan.
Ia perkara biasa setiap kali pembangunan dan turut berlaku semasa pembinaan jambatan di Sebuyau, Batang Lupar dan sebagainya di mana harga tanah meningkat tinggi, katanya.
