KUALA LUMPUR: Petronas dan Petros harus bekerjasama dalam suasana menang-menang mengikut peruntukan undang-undang demi kemakmuran negara.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab berkata, beliau berharap rundingan seterusnya mengenai perkara-perkara yang belum muktamad akan mengambilkira semua peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963, Perlembagaan Sarawak dan semua Ordinan negeri Sarawak yang masih berkuatkuasa.
“Adalah sangat penting bagi Sarawak supaya kedua-dua undang-undang Persekutuan dan Sarawak dihormati dan saling wujud bersama atau co-exist,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja
semasa Istiadat Pembukaan Penggal Keempat sidang Parlimen di Dewan Rakyat di sini.
Beliau berkata, Sarawak juga menghormati semua kontrak sedia ada pembekalan gas LNG yang masih berjalan di antara syarikat Petronas dengan pembeli-pembeli dari Jepun, China, Korea dan mana-mana negara lain.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengiktiraf Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016 yang telah dipinda dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 2023 dan juga mengiktiraf Petros sebagai Agregator Gas Tunggal di Sarawak,” katanya.
Perdana Menteri, tambahnya, juga menekankan bahawa Petronas dan Petros akan bergerak sederap atau serentak sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri.
Selain itu, beliau juga bertanya kepada Kementerian Kesihatan bilakah Klinik Kesihatan Semop akan beroperasi kerana sepatutnya sudah dimaklumkan beroperasi pada hunung tahun lalu.
Beliau turut memohon Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PERTA) supaya melihat kerosakan yang terjadi di kawasan pantai akibat pukulan ombak Monsoon Timur Laut seperti di Paloh, Sebako , Belawai, Tekajong dan beberapa kampung lain.
Untuk sekolah-sekolah daif, beliau bertanya Kementerian Pendidikan apakah status terkini SK OKMP Paloh, SK Penipah dan SK Serdeng.
