KUCHING: Industri pelancongan perubatan di Sarawak diyakini akan berkembang pesat dengan penubuhan syarikat penerbangan AirBorneo serta penambahan tiga lagi hospital baharu.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terdapat peningkatan dari segi jumlah pesakit yang datang ke Kuching terutamanya dari Indonesia untuk mendapatkan rawatan.
Ujarnya yakin, dengan keseluruhan pakej ini, orang ramai akan datang ke sini untuk mendapatkan rawatan, lebih-lebih lagi apabila Sarawak mempunyai syarikat penerbangan sendiri.
“Kemudian, kita boleh membawa pesakit dari Indonesia dan kawasan lain untuk mendapatkan rawatan di Sarawak.
“Dengan pakej yang tepat dan harga berpatutan, kita akan melihat ramai pelancong perubatan datang ke Sarawak. Sebab itu saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan syarikat penerbangan kita beroperasi.
“Kami telah mengambil alih MASwings, dan kini kami sedang melengkapkan syarikat penerbangan ini dengan pesawat jet,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Klinik Pergigian D Dentist Tabuan Jaya di sini, hari ini.
Semasa ditemui pemberita pula, AbangJohari memberitahu, Sarawak kini terus fokus menaik taraf infrastruktur terutamanya dalam bidang perubatan merangkumi semua pakej kesihatan termasuk penjagaan gigi.
Tambahnya, tiga hospital baharu dijangka siap dalam masa tiga tahun melibatkan pembinaan di Batu Lintang, Petra Jaya dan Tabuan Jaya.
“Kita akan bekerjasama dengan pihak berpengalaman dan pakar dalam bidang ini. Terdapat banyak hospital seperti yang saya sebutkan sebelum ini, dan ini adalah hospital bertaraf antarabangsa.
“Mungkin, apabila hospital ini beroperasi, mereka akan membawa pesakit mereka ke sini, dan doktor boleh datang untuk memberikan rawatan kerana kita mempunyai kelebihan dari segi kos,” ujarnya lagi.
Katanya, antara infrastruktur yang lain menjadi tumpuan adalah pembinaan lapangan antarabangsa yang baharu serta menaik taraf sistem pengangkutan awam bagi kemudahan untuk bergerak ke kawasan perubatan.
Untuk rekod, cawangan kedua Klinik Pergigian D Dentist yang terletak di Tabuan Jaya dilengkapi dengan enam bilik rawatan, membolehkan klinik memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pesakit dengan lebih cekap dan selesa.