Daerah Kabong jadi gelanggang sukan petanque bertaraf antarabangsa

KABONG: Usaha sedang dilakukan untuk mewujudkan gelanggang sukan petanque bertaraf antarabangsa di Daerah Kabong di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, ini memerlukan sekurangnya 32 padang petanque di daerah terbabit.

“Ini adalah impian saya dan berharap apabila terlaksana nanti dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat dalam sukan petanque di Kabong khasnya dan Sarawak amnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Pertandingan Petanque Double Santai di Arena Petanque Kabong, Pantai Tanjung Kembang di sini hari ini.

Chee Kadir mengumumkan perancangan pembinaan galeri penonton, blok asrama pemain sertai kemudahan bekalan elektrik di sekitar Arena Petanque Kabong.

Turut hadir ialah Presiden Persatuan Boules Sarawak, Datuk Wan Abdullah Edruce Wan Abdul Rahman, Presiden Kelab Boules Kabong, Ahmad Nazry Maini dan isteri ADUN Kabong, Datin Meryani Yasin.