SARIKEI: Unit Pembangunan Sosio-Ekonomi, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) mengadakan sesi libat urus pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Basmi Miskin Tegar (IPR-BMT) bagi bahagian Sarikei, di sini, baru-baru ini.
Menurut kenyataan RECODA, sesi libat urus itu bersama Bahagian Pentadbiran Sarikei bagi membincangkan inisiatif terbabit yang memperkasa komuniti miskin tegar, miskin dan B40 melalui peluang penjanaan pendapatan sekali gus memastikan kestabilan kewangan jangka panjang.
IPR-BMT juga berhasrat memupuk keusahawanan serta mengukuhkan daya tahan ekonomi, agar lebih ramai individu terbabit dapat keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Perbincangan hari ini tertumpu kepada perancangan strategik, pengagihan sumber yang cekap dan pendekatan bersasar bagi memastikan pelaksanaan program ini benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat di bahagian Sarikei,” menurut RECODA.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sarikei, Louis Yeo Soon Guan dan Wakil Pejabat Residen Sarikei, Donald Gani.