LUNDU: Gunung Pueh yang diiktiraf sebagai Tapak Rizab Biosfera kini menjadi antara enam kawasan tarikan pelancong antarabangsa di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, kawasan tarikan lain ialah Taman Negara Gunung Gading, Tanjung Datu, Kubah, Matang dan Pulau Talang-Talang.
Lebih menarik lagi katanya, penduduk Sematan, Lundu dan Sampadi nanti menjadi ‘duta’ bagi kawasan terbabit.
“Kita sendiri yang akan menerangkan agar masyarakat di seluruh dunia tahu apa yang ada di N3 Tanjong Datu yang kaya dengan alam semulajadi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Kempen Kesedaran Awam (CEPA) di Tapak Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 2025 di Dewan Masyarakat Kampung Tanah Hitam, Sematan di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Hutan Sarawak (Konservasi Hutan dan Pembangunan) Happysupina Sait, Pegawai Daerah Lundu ,Awang Yusup Awang Mostapha, Penghulu Ramil Mina dan Penghulu Awang Helmi Awang Panji.