Sarawak pacu pembangunan ASEAN

KUCHING: Sarawak bersedia merintis laluan kepada ASEAN dalam mengembangkan era ekonomi baharu di peringkat global, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, komitmen Sarawak membantu ASEAN membangun dalam era ekonomi baharu itu ialah membangunkan tenaga hijau, inovasi digital dan pertumbuhan pelaburan strategik.

“Pembangunan sektor itu adalah untuk mengukuhkan peranan ASEAN dalam ekonomi dunia,” katanya dalam ucaptama pada Forum Ekonomi dan Perniagaan ASEAN Sarawak 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, visinya amat jelas untuk menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk Masa Depan Kelestarian ASEAN dengan mengukuhkan kekuatan dalam tenaga diperbaharui, transformasi digital dan kesalinghubungan perdagangan.

Sarawak, katanya, kekal komited untuk mengukuhkan rantaian bekalan serantau, mengembang perdagangan merentas sempadan dan kerjasama dalam penyelesaian tenaga hijau dengan rakan negara ASEAN.

Menurut Premier Sarawak, dengan peralihan pusat ekonomi global ke Asia, terutama ASEAN, Sarawak boleh dijadikan pintu masuk pelaburan penting dengan meletakkan pembangunan infrastuktur strategik sebagai strategi pelaburan.

Pelaburan asing sudah mencurah ke Sarawak, katanya dan menambah, pada 2024 sahaja, pelaburan baharu diluluskan berjumlah RM13.4 bilion meliputi sektor seperti tenaga diperbaharui, pengilangan dan industri berteknologi tinggi.

Pembangunan Pelabuhan Laut Dalam dan Lapangan Terbang Antarabangsa Baharu Kuching di Tanjung Embang akan meningkatkan lagi kesalinghubungan perdagangan serantau, tegas beliau.

Beliau berkata, pelabuhan laut dalam dan lapangan terbang baharu itu akan menjadi hub logistik bersepadu untuk ASEAN.

Bagi pelabur, tambahnya, Sarawak adalah pintu masuk paling sesuai di ASEAN dengan menyediakan persekitaran ideal untuk syarikat mengembangkan perniagaan di wilayah ini.

“Sarawak kini giat menggalakkan kolaborasi perniagaan dan pelaburan melalui forum serantau seperti BIMP-EAGA dan SOSEK-MALINDO,” katanya.

Beliau berkata, Sarawak bukan setakat menawarkan peluang perniagaan tetapi turut mewujudkan persekitaran perniagaan yang jelas, stabil dan berkembang dengan pelaburan semakin meningkat.

Perniagaan yang boleh berkembang maju itu adalah dalam tenaga hidrogen, industri dipacu AI dan pengilangan bernilai tinggi untuk memacu pembangunan masa depan ASEAN.