Premier Sarawak terima Anugerah Pemimpin Muslim Cemerlang Dunia 2024

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terus menerima pengiktirafan antarabangsa apabila menerima Anugerah Pemimpin Muslim Cemerlang Dunia 2024 pada Forum Perniagaan dan Ekonomi Asean Sarawak (ASBEF) 2025 di sini, hari ini.

Anugerah ini mengiktiraf kepimpinan Abang Johari yang penuh inovasi, dedikasi, dan sumbangan beliau terhadap kemajuan ekonomi, keharmonian sosial, serta kedudukan global Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 melalui tiga tonggak utama iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar.

Selain itu, ia juga menghargai komitmen beliau dalam memimpin Sarawak melalui transformasi digital, pembangunan tenaga boleh diperbaharui serta pertumbuhan inklusif yang telah meletakkan Sarawak sebagai model kemakmuran dalam ASEAN dan di peringkat antarabangsa.

Anugerah berprestij ini disampaikan oleh Pengerusi Forum Kepimpinan Muslim Dunia, Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia, Mak Joon Nien.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat daripada ‘ASEAN Economic Club’ (AEC) yang diketuai Pengerusinya, Tan Sri Michael Yeoh.