KUCHING: Acara ikonik, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) diterus pada tahun ini memasuki edisi ke-28 dengan sasaran lebih 30,000 penonton mulai 20 hingga 22 Jun 2025.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 170 pemuzik dari 20 negara akan menghangatkan festival berprestij itu yang akan diadakan di Kampung Budaya Sarawak (KBS).
“Dengan rekod kehadiran 26,000 orang tahun lalu, kami menyasarkan peningkatan kepada 30,000 pengunjung pada tahun ini.
“Ini membuktikan peranan RWMF sebagai pemacu utama ekonomi budaya dan industri pelancongan Sarawak,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian RWMF di Hotel Theater Kuching hari ini.
Menurut Abdul Karim, antara artis tempatan yang mengesahkan penyertaan adalah At Adau, Meruked dan Buluh Berkocak.
Manakala, artis antarabangsa yang bakal membuat persembahan termasuk Seppuku Pistol dari Jepun, Rob Ruha dari New Zealand serta Otyken dari Rusia dan Siberia.
Katanya, RWMF bukan sekadar festival muzik, tetapi platform pertukaran budaya dan inisiatif hijau bagi mempromosikan kelestarian alam sekitar.
“Dalam usaha memastikan festival ini selari dengan prinsip kelestarian, RWMF ujarnya turut memperkenalkan beberapa inisiatif hijau di bawah tema “Connections: One Earth, One Love”.
Antara langkah yang akan diambil termasuk penanaman 10,000 pokok menjelang 2027 bagi mengimbangi jejak karbon, penyediaan stesen kitar semula, larangan penggunaan plastik sekali guna serta pengenalan bas ulang-alik percuma bagi mengurangkan pelepasan karbon, katanya.
Dengan gabungan muzik, budaya dan kelestarian, RWMF 2025 katanya dijangka terus mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu festival muzik dunia yang paling unik dan berpengaruh di rantau ini.
