KUCHING: Sarawak dipilih sebagai lokasi untuk mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Ahli Parlimen Wanita (WAIPA) 2025 yang akan diadakan selama empat hari bermula 21 April depan di Damai Lagoon Resort Kuching.
Ia dianjurkan oleh Parlimen Malaysia bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, jelas Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Katanya, mesyuarat bertemakan ‘Steering Innovation, Inclusivity and Diversity through Gender Balanced Parliaments for a Future-Ready ASEAN’ ini menyediakan peluang untuk mempromosikan Sarawak melalui pelbagai program komuniti yang telah dirancang.
“Beberapa program komuniti menarik telah dirancang, termasuk lawatan melibatkan ahli-ahli mesyuarat ke lokasi menarik di sini, termasuk Pusat Intervensi Awal Satu Henti (OSEIC), selaras dengan tema mesyuarat ini tentang inklusiviti.
“Selain itu, turut dijadualkan lawatan ke Muzium Budaya Borneo bagi memberi peluang kepada mereka untuk menghargai budaya dan keunikan Sarawak,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng di Bangunan Baitulmakmur 2, di sini hari ini.
Sementara itu kata Alice, tujuan kunjungan itu untuk menjemput Fatimah menyampaikan ucapan dalam mesyuarat tersebut pada 22 April.
Jelasnya, mesyuarat ini merupakan platform penting untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan pembangunan wanita, kanak-kanak, dan keluarga dalam konteks ASEAN.
Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
