Pendidikan aset utama bangunkan generasi muda berdaya saing

MATU: Pendidikan merupakan aset utama dalam membangunkan generasi muda berdaya saing dan berakhlak mulia, kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Justeru, beliau menekankan kepentingan untuk pelajar menimba ilmu dan belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan di masa hadapan.

Beliau berucap demikian semasa menghadiri Majlis Jom Berambeh Sungkei SisKa 3.0 SMK Matu 2025 berlangsung di SMK Matu semalam.

Program ini menghimpunkan guru, ibu bapa pelajar asrama serta anak-anak murid asrama dalam suasana kekeluargaan dan keharmonian pada bulan Ramadan.

Ahmad Johnie turut menzahirkan tahniah kepada penganjur atas kejayaan menganjurkan program ini.

Beliau berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi manfaat generasi muda.

Program seperti ini katanya bukan sahaja mengeratkan hubungan antara guru, ibu bapa, dan pelajar, malah turut menyemai nilai-nilai kasih sayang, saling menghormati, dan kebersamaan dalam kalangan warga sekolah.

Antara atur cara utama dalam majlis ini adalah watikah lantikan kepada guru-guru SISKA, yang bertanggungjawab membimbing pelajar baharu asrama sebagai anak angkat bagi sesi 2025.

Ahmad Johnie kemudian menyertai majlis sungkei bersama-sama yang lain.