Rancang perjalanan balik dengan teratur – Safiee

DARO: Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Daerah Daro sempena perayaan Aidilfitri 2025 dilancarkan, bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya mengenai keselamatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dalam ucapannya menekankan kepentingan keselamatan jalan raya, terutamanya ketika trafik dijangka meningkat secara mendadak sepanjang musim perayaan.

Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dengan baik serta memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

“Jangan jadikan hari yang sepatutnya kita bergembira bersama keluarga bertukar menjadi perkara yang tidak kita ingini.

“Kempen tahunan ini diharap memberi impak positif kepada pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan perjalanan pulang ke kampung halaman lebih selamat dan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Daerah Daro di Perkarangan Rumah Rehat Daerah Daro semalam.

Beliau turut mengingatkan mereka agar memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat, terutama penggunaan elektrik.

Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada pengguna jalan raya, Safiee telah menyampaikan sebanyak 1,500 goodies kepada mereka yang melalui pekan Daro.

Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat, ketua kaum, serta wakil badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Daerah Daro.