Premier Sarawak saksi penyerahan zakat perniagaan kepada TBS

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan dua penyerahan zakat perniagaan kepada pihak Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Wisma Bapa Malaysia, pagi ini.

Penyerahan zakat pertama dibuat oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) berjumlah RM1 juta. Majlis penyerahannya disempurnakan Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari kepada Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohamad Shibli Abang Mohamad Nailie.

Turut hadir menyaksikan penyerahan ialah Timbalan Pengerusi BDA Dato Haidar Khan Asghar Khan dan Setiausaha BDA Wan Ibrahim Wan Ali.

Selepas itu, Abang Johari menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Pelabuhan Bintulu Holdings Berhad (BPHB) berjumlah RM3.6 juta kepada TBS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Ruslan Abdul Ghani, zakat perniagaan kali ini merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan, melibatkan keuntungan pada tahun lalu.

“Kami berjaya membayar zakat berjumlah RM3.6 juta kepada pihak TBS, daripada zakat perniagaan kami iaitu keuntungan daripada tahun lalu.

“Alhamdulillah, itu adalah zakat tertinggi yang kami serahkan. Ia merupakan salah satu daripada tanggungjawab kami, bukan hanya untuk membayar cukai, tetapi juga untuk membayar zakat,” katanya.

Penyerahan zakat berkenaan turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.