Kawasan rendah Sibu, Kapit dinaiki air

SIBU: Hujan berterusan menyebabkan beberapa kawasan rendah dan tebingan sungai di bahagian Sibu dan Kapit dinaiki air sejak semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataannya sebentar tadi memberitahu, empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir baharu dibuka di kedua-dua bahagian terbabit.

PPS tersebut ialah Balai Raya Song menempatkan seramai 60 ketua isi rumah (KIR) dan 198 mangsa, asrama belia Kapit (6 KIR, 31 mangsa), Dewan Kompleks Sukan Kanowit (11 KIR, 38 mangsa) dan Dewan Komuniti Sibu Jaya (satu KIR, tujuh mangsa).

Satu PPS tanah runtuh dibuka iaitu Dewan Masyarakat Kampung Bahagia Jaya Teku, Sibu (10 KIR, 43 mangsa).

Terdapat penambahan KIR dan jumlah mangsa di PPS Balai Raya Song, PPS Asrama Belia Kapit dan PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit.