Kerajaan kaji keperluan pinda undang-undang kesalahan seksual kanak-kanak

KUCHING: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk meminda peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan seksual kanak-kanak bagi memastikan hukuman lebih tegas dan setimpal dikenakan ke atas pesalah.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, kementerian akan melakukan kajian menyeluruh terhadap pelaksanaan undang-undang sedia ada sebelum membuat sebarang ketetapan mengenai cadangan pindaan tersebut.

“Untuk terus mengatakan undang-undang perlu dipinda, saya perlu meneliti dan mengadakan kajian terlebih dahulu bagaimana hukuman sebelum ini dilaksanakan serta sama ada ia memberi kesan yang sewajarnya.

“Perkara ini memerlukan penelitian kerana kita tidak mahu terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak,” ujarnya.

Nancy berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Sumbangan Ramadan dan Agihan Bubur Asyura Parlimen Santubong di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kes tular membabitkan seorang bapa tiri di Muar, Johor yang dikenakan hukuman denda RM6,000 oleh mahkamah selepas didapati bersalah merakam dan memiliki bahan lucah berupa video serta gambar bogel anak tirinya yang diambil ketika kanak-kanak itu sedang mandi.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 160 asnaf di kawasan Parlimen Santubong menerima sumbangan bakul makanan.

Nancy turut meluangkan masa menyantuni orang ramai dan mengagihkan bubur asyura kepada pengguna jalan raya di hadapan Ibu Pejabat JBPM Sarawak.