DARO: Sebanyak 41 rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro berjaya dibaik pulih dalam fasa satu tahun 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, bentuk baik pulih rumah itu terdiri daripada pelbagai peringkat untuk keselesaan pemiliknya.
Sejak 2018, sebanyak 571 rumah di DUN Daro berjaya dibaik pulih, katanya semasa mengadakan lawatan ke beberapa rumah yang dibaik pulih di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin (MRP-PPRMS) di Kampung Tengah Daro dan Kampung Baru Daro di sini semalam.
Safiee berkata, program MRP-PPRMS itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Di bawah program itu, Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan kepada wakil rakyat bagi membantu rakyat di kawasan DUN terbabit dan ternyata memberi manfaat kepada rakyat, katanya.
“Dengan peruntukan yang disediakan, kita dapat membantu membaik pulih rumah mereka yang bocor dan usang dengan segera. Selepas dibaik pulih, pemiliknya berasa lebih selesa untuk mendiami rumah terbabit,” katanya.
Pemilik rumah yang mendapat manfaat di bawah program itu menzahirkan rasa bersyukur atas bantuan dan manzahirkan penghargaan terima kasih kepada wakil rakyat dan Premier Sarawak atas inisiatif itu.
Menurut mereka, sebelum mendapat bantuan itu, rumah yang didiami sentiasa basah sewaktu hujan disebabkan atapnya yang bocor dan selepas dibaik pulih keadaan itu lebih baik dan selesa.
Safiee bersama Ketua Pemuda dan Skuad Kasih Sayang Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Kampung Tengah Daro turut mengadakan program ziarah sambil menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada yang memerlukan.
Terdahulu, Safiee menyerahkan sumbangan tongkat kepada Sapiah Gang di Kampung Tengah Daro bagi membantu memudahkan beliau bergerak.
