Diskaun 50% denda lewat tunggakan cukai taksiran

KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) kini menawarkan diskaun 50 peratus ke atas denda lewat tunggakan cukai taksiran kepada pemilik harta di bawah bidang kuasanya.

Pengerusi MPKS, Datuk Peter Minos berkata, tempoh promosi bermula pada 1 Februari sehingga 31 Mei 2025.

“Saluran pembayaran boleh dilakukan di kaunter MPKS, Pembayaran dalam talian melalui Sarawak Pay, UTC Sarawak, H&L Supermarket dan Sarawak Service Kiosks,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan dua pertandingan utama diperkenalkan sempena Kempen Kebersihan Tandas Awam 2025 tahun ini iaitu Toilet of the Year Award 2025 (TOTYA) dan Pertandingan Kebersihan Tandas Awam Peringkat MPKS 2025.

“Ini adalah sebahagian projek strategik Bandar Sejahtera selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kebersihan tandas awam. Selain itu menggalakkan pemilik premis memastikan kemudahan awam sentiasa bersih dan selesa,” katanya.

Mengulas lanjut, Peter Minos berkata, TOTYA dianjurkan oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Putrajaya dan terbuka kepada tandas awam yang mencapai penarafan lima bintang sepanjang 2024/2025.

Beliau berkata, kategori penyertaan termasuk hotel, pusat membeli-belah, restoran, stesen minyak, dan rumah ibadat dan tarikh tutup penyertaan ialah 30 April 2025.

Sementara itu katanya, Pertandingan Kebersihan Tandas Awam Peringkat MPKS 2025 terbuka kepada pemilik premis seperti premis makanan, stesen minyak, pusat ibadat, hotel, pusat membeli-belah serta sekolah rendah dan menengah.

Dalam pada itu, Setiausaha Perbandaran MPKS, Gustian Durani turut mengumumkan penyediaan perkhidmatan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) bagi memudahkan pembuangan sisa pukal sempena Hari Raya 2025.

“Tempoh penyediaan bermula 19 Mac sehingga 8 April ini dan antara lokasi utama penempatan tong RORO ialah Taman Samarindah (Bin Centre Flat Lorong 16), Market Bandar Riyal (Pusat Hijau), Taman Desa Ilmu (Parking Lot Uptown) dan Kampung Sindang (Lorong 21, Denymas Cafe).

“Seterusnya, Kampung Baru (Jalan masuk dari Jambatan Samarahan), Kampung Baru (Jalan ke Kampung Rembus), Kampung Tambirat (Rumah Tong, Pusat Penjaja MPKS Tambirat), Pasar Asajaya (Tapak Tong Market), Pekan Sadong Jaya (Tandas Awam), Pekan Sadong Jaya (Tepi jalan Dolet Cafe), Kampung Semera Lot (Dewan Perpaduan) dan Kampung Semera Lot Baru,” katanya.

Pada masa sama, Gustian Durani turut memperkenalkan aplikasi baharu, MyWC (My Water Closet) yang membantu pengguna mencari tandas awam dalam lingkungan 25 kilometer radius.

“Antara fungsi utama MyWC ialah carian tandas berdasarkan penarafan bintang, menyediakan maklumat tandas berbayar atau percuma, maklumat lokasi tandas mesra OKU dan tandas yang mempunyai bilik tukar lampin bayi.

“Aplikasi MyWC kini boleh dimuat turun di Google Play dan App Store,” ujar beliau.