Sukan SEA 2027: Sarawak kekal anjur 18 acara, 7 sudah dikenal pasti

KUCHING: Sebanyak tujuh acara sukan dimuktamadkan akan diadakan di Sarawak pada temasya Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.

Menurut Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, acara sukan tersebut adalah tenpin boling, renang, terjun, kriket, taekwondo, memanah dan menembak.

Katanya, pemilihan acara diputuskan setelah menilai venue dan fasiliti di sini agar mencapai piawaian antarabangsa untuk menganjurkan sukan-sukan berkenaan.

Jelas Karim, tujuh acara tersebut merupakan antara 18 acara sukan yang akan dilangsungkan di Sarawak selaku penganjur bersama Sukan SEA 2027 kelak dengan senarai lengkap acara sukan dipertandingkan akan dimuktamadkan kemudian.

Beliau mengumumkan perkara itu semasa sidang media Kelayakan Akhir Kejohanan Tenis Remaja Dunia Persekutuan Tenis Antarabangsa (Itf) Bawah 14 Tahun (U14) Asia/Oceania 2025 di sini hari ini.

Tambah beliau, fasiliti menembak di Petra Jaya akan dinaik taraf memandangkan ia masih belum dilengkapi dengan kemudahan dua disiplin iaitu ‘trap shooting’ dan ‘skeet shooting’.

“Satu lagi yang kita mahu ialah acara perasmian diadakan di Kuching, dan perkara itu telah dipersetujui,” jelas beliau lagi.