Jualan RAHMAH Madani, harga lebih rendah di 256 peruncit

KUCHING: Orang ramai dialu-alukan membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah di 256 peruncit yang terlibat dalam Program Jualan RAHMAH Madani (PJRM) di seluruh Sarawak.

Timbalan Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Jabatan Premier Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, inisiatif ini bertujuan membantu masyarakat membeli barang keperluan dengan lebih mudah dan berpatutan, terutamanya menjelang Aidilfitri.

“Dengan kerjasama daripada sektor peruncitan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Sarawak menawarkan diskaun antara 10 hingga 30 peratus untuk barangan harian, dengan tumpuan khusus pada kawasan yang mempunyai golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ‘Walkabout Sempena Pemeriksaan Dan Pemantauan Program Jualan Rahmah Ramadan Raya’ di Pasar Raya Mydin Vista Tunku, hari ini.

Hasidah yang juga ADUN Samariang, menambah bahawa program ini mencerminkan perhatian kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

Antara barangan yang dijual dengan harga lebih rendah adalah sabun badan, susu, dan serbuk kari.

“Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan B40, tetapi juga membantu masyarakat secara keseluruhan yang terkesan dengan kenaikan kos hidup,” katanya lagi.