KUCHING: Inisiatif agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan memerlukan lebih-lebih lagi menjelang sambutan perayaan amat dihargai.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, usaha mereka ini bukan sahaja melibatkan satu perayaan sahaja, malah turut membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.
Mengambil contoh Persatuan Sarawak Hun Nam Siang Tng, beliau memberitahu persatuan berkenaan banyak menganjurkan aktiviti kebajikan untuk membantu golongan asnaf dan kumpulan rentan di Sarawak sejak 1956, tanpa mengira latar belakang.
“Kita lihat NGO seperti Persatuan Sarawak Hun Nam Siang Tng ini, mereka akan memberi bantuan kepada golongan asnaf yang akan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri, dan apabila Hari Gawai kelak masyarakat Dayak akan menerima bantuan.
“Inilah keindahan kemakmuran di Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bakul Makanan dan Duit Raya kepada golongan asnaf anjuran Persatuan Sarawak Hun Nam Siang Tng di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memuji usaha mereka yang selari dengan usaha Kerajaan Sarawak yang sentiasa menyalurkan sumbangan pada musim perayaan.
Fatimah menyempurnakan simbolik penyerahan kepada 108 asnaf berupa bakul makanan dan duit raya.
