Jambatan Batang Lupar Dua bakal jadi jambatan kabel tertinggi Malaysia

SIMANGGANG: Jambatan Batang Lupar Dua yang kini sedang dalam pembinaan dijangka menjadi jambatan kabel (Cable-Stayed Bridge) tertinggi di Malaysia apabila siap sepenuhnya.

Pengarah Kerja Raya Sarawak, Dr Ir. Cassidy Morris, berkata jambatan ini akan menjadi mercu tanda utama bukan sahaja bagi Sarawak, tetapi juga bagi Malaysia secara keseluruhannya.

“Ia akan menghubungkan bandar Sri Aman dengan pekan Betong merentasi Sungai Batang Lupar.

“Dengan ketinggian mencapai 145.5 meter (m) setara dengan bangunan 45 tingkat dan panjang 870 m, jambatan ini bakal mencatatkan rekod sebagai jambatan kabel tertinggi di Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Dr Ir Cassidy, apabila siap pada suku pertama tahun depan, jambatan ini akan mempercepatkan pergerakan rakyat dan meningkatkan lagi rangkaian pengangkutan di zon tengah Sarawak.

“Jajaran jalan sepanjang 21 kilometer (km) termasuk 3.2 km ke bandar Sri Aman dan 3.8 km ke pekan Betong merupakan sebahagian daripada Laluan Jalan Utama Kedua.

“Apabila siap, perjalanan antara Sri Aman dan Betong akan dipendekkan daripada 71 km kepada hanya 28 km, manakala masa perjalanan juga akan berkurang daripada satu jam kepada hanya 30 minit,” jelasnya.

Dr. Cassidy juga menegaskan komitmen Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan projek ini dilaksanakan dengan efisien dan selamat demi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan pembangunan Sarawak.