Salur maklumat tepat dasar kerajaan di media sosial

KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menghargai usaha semua pihak yang menyalurkan maklumat tepat kepada masyarakat di Sarawak.

Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang berkata, ini termasuk pengamal media sosial yang terus memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat.

“Maklumat yang tepat penting dalam memberi pemahaman yang lebih jelas tentang dasar-dasar kerajaan, serta meningkatkan penyertaan mereka dalam proses pembangunan wilayah kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis UKAS Berambeh Raya 2025 di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Awang Putrayusrie berharap agar UKAS, warga media, pegawai perhubungan awam dan rakan-rakan strategik UKAS bersama meningkatkan daya saing dan kualiti penyampaian maklumat yang lebih baik melalui kerjasama strategik yang telah mereka bina.

“Kerjasama yang berterusan ini adalah kunci kepada kejayaan dalam menyampaikan maklumat yang tepat, berkesan, dan menyeluruh,”tambahnya.