Isu kekurangan guru Sarawak selesai

SAMARAHAN: Isu kekurangan guru di Sarawak kini hampir diselesaikan sepenuhnya susulan pengambilan khas guru di negeri ini telah mencapai kuota mencukupi, selain kekosongan yang ada kini hampir penuh.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, dengan pengambilan khas yang dilakukan baru-baru ini, jumlah guru di Sarawak meningkat, sekali gus memastikan setiap sekolah beroperasi dengan lancar.

“Dengan pengambilan kali ini, kita boleh katakan ia mencukupi. Kuota yang ada sudah hampir penuh dan jumlah guru yang ada kini tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Pertandingan Inovasi Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Kota Samarahan (PinKS@UiTM 2025) di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.

Bagaimanapun, Roland turut mengingatkan bahawa kekosongan tetap akan wujud dari semasa ke semasa disebabkan faktor persaraan dan sebab-sebab lain.

Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus berusaha mengisi kekosongan ini dengan pelantikan graduan dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pendidikan lain.

Menurut data yang dikeluarkan, sebanyak 1,372 guru baharu dilantik pada penghujung Disember lalu. Jumlah itu daripada 13,749 guru yang dilantik dalam Pengambilan Khas Sarawak.

Guru-guru ini telah berjaya ditempatkan di seluruh negeri Sarawak. Pelantikan tersebut adalah hasil usaha KPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk menangani kekurangan guru di negeri ini.

“Berdasarkan data Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, sebanyak 96 peratus sekolah di negeri ini kini mempunyai tenaga pengajar untuk subjek-subjek yang sedia ada.

“Secara purata, hanya terdapat satu kekosongan guru bagi setiap sekolah, dengan lebih 1,200 sekolah, termasuk sekolah rendah dan menengah, di seluruh negeri,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Roland juga berharap agar graduan IPG yang bakal menamatkan pengajian dapat mengisi kekosongan guru yang masih ada, dalam memastikan sistem pendidikan di Sarawak terus berkembang dan mantap.