KUCHING: Kontinjen Sarawak mensasarkan untuk mengulangi kejayaan cemerlang yang dilakar sebelum ini apabila bakal bertanding pada pertandingan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 di Perlis.
Bagi merealisasikan misi, Sarawak akan menghantar enam peserta pada edisi kali ini, menurut Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha.
Katanya, kontinjen Sarawak terdiri daripada peserta-peserta berpengalaman, termasuk Muhammad Faizal Afandi dan Huziah Ayub yang bertanding dalam kategori tilawah.
Manakala, empat lagi peserta mewakili kategori hafazan bagi juzuk 1 hingga 10, 1 hingga 20 dan 1 hingga 30 melibatkan peserta lelaki dan perempuan.
“Perlis dipilih sebagai tuan rumah dan Sarawak turut diberi kepercayaan untuk menghantar wakil terbaik.
“Kita berharap mereka mampu mengharumkan nama negeri,” katanyanya semasa menerima kunjungan hormat Rombongan Wakil Negeri Sarawak Ke Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1446h/2025M di Pejabat Majlis Islam Sarawak hari ini.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sarawak agar mendoakan kejayaan peserta negeri ini.
