KUCHING: Semua agensi pelaksana perlu menyelesaikan masalah projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang tidak dapat bermula dan mengikut jadual di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Bau.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, terdapat 19 projek RTP di DUN terbabit mengalami kelewatan sejak 2022 sehingga kini berikutan masalah tapak.
“Kesemua projek yang terjejas perlu dilaksanakan segera memandangkan ia untuk kegunaan dan keperluan harian masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusi Mesyuarat Laporan Kemajuan Projek RTP DUN Tasik Biru, di sini, hari ini.
Henry juga menyatakan pendirian sama dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang kesal dengan kelewatan pelaksanaan projek di wilayah ini walaupun peruntukan telah disalurkan.
Beliau menambah projek pembangunan luar bandar seperti pembinaan dan naik taraf jalan, bangunan awam, fasiliti sukan dan sosial perlu dilaksana tanpa “Red Tape” dari pihak agensi hingga menyukarkan pelaksanaan projek dan tidak dapat bermula.
