SIBU: Seramai 32 ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) mengangkat sumpah pelantikan di Wisma Sanyan, di sini, hari ini.
Majlis angkat sumpah itu dihadiri Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Ahli majlis yang dilantik seramai tujuh orang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) iaitu Michael Dee, Mohamad Arhman Ahmad Mahdi, Johny Sain, Leo Albert Tony, Sofia Ujang, Minggu Angga dan Denis Atut.
Sementara, 12 ahli dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Collin Tinting @ Gindien, Tay Yeong Soon, Yong Ing Hock, Kevin Lau Kor Jie, Wong Sing Ing, Johnny Ganing, Jeksen Chuban, Loi Kwong Lee, Chieng Siew Yee, Baling Sumbang, dan Jimmy Patrick Yiu Wan Wei.
Manakala, lima ahli Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu Wong Hua, Dr Ling Sien Ngan, Teo Ming Pau, Hii Bee Choon, dan Stanley Ngelambai Majang.
Seterusnya lapan ahli dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) iaitu David Entulu, Henry Kanyan Vincent Rawing, Lawrence Lun Lupang, Binit Madang, Dr Gavin Man Gima, Stanley Kuda Jabat, dan Morris Johnny.
Sementara itu, Raden Khairulzaman Raden Bustari antara lapan Ahli Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dari Parti PBB turut mengangkat sumpah di majlis yang sama.
Raden Khairulzaman,30, dilantik semula sebagai ahli majlis untuk penggal kedua bagi tahun 2025 hingga 2028.
Bercakap mengenai pelantikan semula itu, Raden mengucapkan terima kasih kepada pucuk kepimpinan Parti PBB atas kepercayaan untuk menyambung khidmat sebagai beliau sebagai ahli majlis.
“Ini adalah satu daripada agenda suara anak muda Sarawak dan Parti PBB serta bukti bahawa pemerkasaan pimpinan muda dalam penglibatan penggubal dasar seawal kerajaan tempatan telah dilaksanakan oleh parti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan sokongan daripada pimpinan tempatan, masyarakat kampung dan rakan-rakan untuk turut sama membantu merealisasikan agenda pembangunan setiap kawasan.
