SIMANGGANG: Pesta Benak Sri Aman 2025 akan diadakan di Sungai Batang Lupar di sini pada 19 hingga 21 September depan.
Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata penetapan tarikh lebih awal ini bertujuan memberi ruang semua pihak membuat persiapan rapi dari segi logistik, promosi dan pengisian acara.
“Penganjuran Pesta Benak yang bakal memasuki edisi ke-22 pada tahun ini juga bakal berwajah baharu menerusi pelbagai penambahbaikan,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman di Wisma SADA, di sini, semalam.
Mahra berkata, ini termasuk penyusunan semula tapak gerai secara berkluster mengikut kategori makanan halal, bukan halal, kraf tangan dan korporat,” katanya.
Beliau berkata, selain itu terdapat cadangan pentas utama ditempatkan di lokasi tidak mengganggu pergerakan pengunjung, menambah tong sampah, menyediakan tandas mudah alih yang mencukupi dan menjadualkan kerja pembersihan lebih sistematik.
Menurutnya, satu laman sesawang rasmi dan aplikasi mudah alih Pesta Benak juga akan dibangunkan dan platform digital ini akan menyediakan fungsi pendaftaran, panduan lokasi dan siaran langsung acara secara dalam talian.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Sharif Bujang; Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani; Setiausaha Majlis Daerah Sri Aman (MDSA), Mohd Rizal Zakaria; Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Safariza Bujang; Pegawai Perpaduan Bahagian Sri Aman, Ahmad Noorkamal Abdul Malek.
