KUCHING: Kolej Universiti i-CATS kini selangkah lebih maju dalam bidang pendidikan teknikal apabila Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa ditubuh secara rasmi, dengan pengambilan pelajar pertama dijadual bermula Ogos ini.
Naib Canselor i-CATS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, penubuhan fakulti tersebut merupakan antara usaha strategik i-CATS untuk menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi di Sarawak.
“Secara spesifiknya, kita telah menubuhkan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa dan dalam fakulti berkenaan, kita akan bangunkan beberapa program akademik.
“Tahun ini kita akan mulakan dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa seterusnya akan diperkenal dua lagi program tahun hadapan iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Avionik dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi dalam Penyelenggaraan Pesawat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas majlis penutupan rasmi Forum Transformasi Aeroangkasa Sarawak 2025 di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ICATS merancang untuk membina kampus baharu di atas tanah seluas 220 hektar berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air, dengan kerja pembinaan dijangka bermula pada Februari tahun hadapan.
“Untuk fasa pertama, kapasiti pelajar dijangka antara 2,500 ke 3,000 orang. Kampus i-CATS sedia ada di Jalan Stampin akan terus digunakan sehingga fasa kedua siap sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau menambah, pembangunan kampus baharu itu selari dengan keperluan semasa dan masa depan negeri, khususnya dalam menghasilkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan kejuruteraan.
“Kerajaan negeri menaruh harapan tinggi terhadap kampus baharu ini agar menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berteknologi tinggi, selari dengan Rancangan Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan pelan transformasi digital negeri,” katanya.
Selain bidang aeroangkasa, ICATS turut menawarkan pelbagai program akademik dalam bidang kejuruteraan, teknologi, sains komputer, pendidikan, pelancongan, hospitaliti, ekonomi dan perakaunan.
