KUCHING: Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak (SSWF) menumpukan kepada pembentukan asas kukuh dan terancang pada tahun pertama operasinya.
Pengerusinya Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie berkata, langkah itu bagi memastikan dana tersebut dibina berlandaskan prinsip betul, barisan individu tepat, serta struktur yang mantap untuk melaksanakan mandat dengan berkesan.
Katanya, SSWF turut membina keupayaan dalaman dengan menghimpunkan satu pasukan yang pelbagai dan berkebolehan bagi memastikan dana ini bersedia untuk mengharungi landskap pelaburan yang kompleks dengan ketelitian dan pandangan jauh.
“Pada masa sama, kami membangunkan rangka kerja tadbir urus dan dasar institusi yang akan memandu hala tuju kami ke hadapan. Ketika kami menatap ke tahun 2025, kami kini memasuki fasa baharu dalam perjalanan ini iaitu pembangunan modal.
“Sebagai kumpulan pelabur bertaraf global, pendekatan kami akan sentiasa terukur, berdisiplin dan mengutamakan kepentingan rakyat Sarawak serta masa depan mereka,” katanya pada Jamuan Hari Raya Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak hari ini.
Ujarnya, usaha ini bergantung kepada kepercayaan yang diberikan kepada pihak SSWF, keyakinan para pemegang kepentingan, serta sokongan daripada semua pihak.
Sementara itu, Jamuan Hari Raya Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak diserikan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ketibaan beliau sekitar jam 3.25 petang disambut oleh dif-dif kenamaan lain, antaranya Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah SSWF, Datuk Patinggi Tan Sri Leonard Linggi Jugah.
