KUCHING: Konsul Jenderal Indonesia di Sarawak, Raden Sigit Witjaksono mengadakan kunjungan perpisahan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Kunjungan tersebut sempena tamat tempoh perkhidmatan rasmi beliau yang dijadual pada 30 April ini setelah tiga tahun berkhidmat di Sarawak.
Ketika ditemui, Raden Sigit berkata, hubungan dua hala antara Konsulat Jenderal Indonesia dan Kerajaan Sarawak telah berkembang pesat dalam pelbagai sektor sejak beliau mula bertugas, terutamanya dalam bidang ekonomi, sosial dan kebudayaan.
“Kami menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas segala bentuk sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatan saya di sini,” katanya.
Antara perkara utama dibincangkan termasuk usaha memperkukuh hubungan antara Kalimantan dan Sarawak, khususnya inisiatif mengaktifkan semula laluan penerbangan Pontianak-Kuching serta membuka potensi laluan ke Balikpapan, Kalimantan Timur, yang kini menempatkan ibu negara baharu Indonesia, di Nusantara (IKN).
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Kerajaan Sarawak dalam membantu kelancaran proses Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia yang berlangsung tahun lalu, melibatkan kira-kira 52,000 warga Indonesia yang menetap di negeri ini.
Sebelum kunjungan perpisahan itu, Raden Sigit turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pimpinan negeri termasuk Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kuih Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato’ Sri Fatimah Abdullah; serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memastikan kelangsungan hubungan dua hala antara Indonesia dan Sarawak menerusi penyampaian saranan dan sokongan penuh kepada penggantinya kelak.
