KUCHING: Kerjasama dua hala antara Sarawak dan negara anggota ASEAN akan diperkukuhkan bagi merangsang pertumbuhan perdagangan, pelaburan dan pelancongan serantau secara saling menguntungkan.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Datuk Openg, Sarawak bertekad memacu pertumbuhan rantau dan meningkatkan taraf hidup penduduk Asia Tenggara dengan memanfaatkan lokasi strategik, kekayaan sumber asli dan hubungan budaya serantau.
Sejajar dengan aspirasi untuk meningkatkan keterhubungan serantau, Sarawak katanya mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan baharu – AirBorneo – yang dijadual memulakan operasi pada 2026.
“Langkah ini bertujuan mengukuhkan hubungan udara ke bandar-bandar utama dan ibu negara di seluruh ASEAN, sekali gus memudahkan urusan perjalanan dan perniagaan.
“Di samping itu, pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa dan Pelabuhan Laut Dalam baharu di Tanjung Embang bakal mengubah Sarawak menjadi hab penerbangan dan maritim serantau serta menarik lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam Gala Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) Ke-33 di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing; Menteri Di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Barisan Kabinet Timbalan Menteri Sarawak, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee serta dif kenamaan lain.
Selain itu katanya, Sarawak juga melihat potensi besar dalam kerjasama rentas sempadan menerusi hubungan darat dengan Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.
Malah katanya, pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dijangka membawa limpahan ekonomi yang ketara kepada seluruh Pulau Borneo, membuka peluang baharu dalam bidang pelaburan, perdagangan dan pembangunan infrastruktur.
Sebagai pemain utama dalam inisiatif subserantau Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina dan Kawasan Pertumbuhan Asia Timur
(BIMP-EAGA), Sarawak berperanan penting dalam menyokong agenda integrasi ekonomi ASEAN, ujarnya.
