Kuarters guru SMK Agama Igan siap lebih awal

IGAN: Projek pembinaan tambahan 17 unit rumah guru dan kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan, di sini, siap 365 hari lebih awal.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri meluluskan projek ini pada
2020 dengan kos bernilai RM16.390 juta.

Beliau berkata, kejayaan itu mencerminkan kecekapan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor terlibat.

“Ini adalah antara usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan guru terus diberi keutamaan melalui penyediaan tempat tinggal yang selesa, selamat dan lengkap dengan infrastruktur sokongan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Siap, di sini, hari ini.

Projek yang dilaksanakan pada 2023 oleh Pasukan Projek Khas 2 (PPK2) JKR Malaysia dilaksanakan secara reka dan bina, di atas kawasan seluas 13.554 hektar.

Beliau berkata, kemudahan yang disediakan meliputi 17 unit kuarters (Kelas F), tangki tadahan air hujan, tangki air bertingkat dan tangki sedutan, pemasangan servis elektrik, ICT serta mekanikal.

Skop kerja luar bangunan turut melibatkan pembinaan tempat letak kereta berbumbung dan terbuka, laluan konkrit, sistem saliran, retikulasi air dan sistem pembetungan, katanya.

Menurut Nanta, kejayaan projek ini boleh dijadikan penanda aras bagi pelaksanaan projek lain pada masa hadapan, khususnya dari aspek ketepatan masa dan kualiti kerja.

Beliau turut mengingatkan pihak kontraktor agar terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sepanjang tempoh tanggungan kecacatan (DLP), sementara pihak JKR akan terus memantau sebarang keperluan pasca penyerahan projek.