KUCHING: Penduduk Sarawak kini mempunyai pilihan akaun bank eksklusif menerusi pelancaran Akaun AFFIN Kenyalang yang ditawarkan khusus kepada anak jati negeri itu.
Inisiatif yang diperkenal AFFIN Bank ini menyasarkan golongan berstatus anak Sarawak, termasuk individu yang menetap atau bekerja di negeri berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata pelancaran akaun ini merupakan satu simbol pengiktirafan terhadap identiti rakyat Sarawak dalam kerangka pembangunan nasional.
“Akaun ini terbuka kepada mereka yang memiliki MyKad dengan kod ‘K’ selain individu yang mempunyai alamat tetap atau urusan rasmi di Sarawak, termasuk pelajar,” katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau, hari ini.
Menurut Dr. Sim, tiada keperluan deposit permulaan atau baki minimum ditetapkan bagi akaun tersebut, menjadikannya lebih inklusif dan mesra pengguna, selaras dengan agenda Sarawak First yang digariskan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak kini merupakan pemegang saham terbesar AFFIN Bank dengan pegangan mencecah 678 juta unit saham sebagai langkah memperkukuh pengaruh ekonomi negeri dalam sektor perbankan.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperluas akses perkhidmatan kewangan kepada rakyat, selain meningkatkan penglibatan dalam sistem kewangan negara,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin membuka akaun AFFIN Kenyalang hanya perlu mengemukakan dokumen pengesahan yang relevan di cawangan terpilih, atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi bank tersebut.
