BEKENU: Pembinaan Jambatan Kampung Bulau akan memperkukuh hubungan antara Bekenu dengan kawasan sekitarnya apabila siap pada tahun depan.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek ini bukan sahaja memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk, malah membuktikan kerajaan menepati janji untuk melaksanakan pembangunan.
Katanya, ia merupakan antara komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan jaringan infrastruktur di luar bandar, sejajar dengan agenda pembangunan menyeluruh negeri ini.
Dengan pembinaan infra tersebut, visi kerajaan negeri penting untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar dapat direalisasikan, jelas Uggah.
“Premier Sarawak sentiasa mengotakan janji untuk membangunkan kawasan demi kemudahan rakyat.
“Pemimpin negeri juga terus berusaha membawa masuk lebih banyak projek ke kawasan luar bandar, agar matlamat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu rakyat benar-benar terbukti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Kampung Bulau di Dewan Kampung Bulau di sini hari ini.
Beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor yang dilantik melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi membolehkan projek bernilai RM6.09 juta itu dapat siap dalam tempoh 24 bulan, iaitu pada Februari 2027.
Apabila siap kelak, jambatan tersebut akan menghubungkan Bekenu dengan kawasan sekitarnya kerana Kampung Bulau boleh diakses melalui dua laluan utama, iaitu Lebuh raya Pan Borneo (LPB)!dan Jalan Pesisir Bintulu–Miri, menjadikan kedudukannya strategik dalam menyokong mobiliti penduduk dan aktiviti ekonomi tempatan.
Projek lain yang telah diluluskan hasil usaha Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus antaranya naik taraf jalan pesisir ke Sepupok dan pembangunan Tebingan Sungai Bekenu serta kemudahan infrastruktur lain di Kampung Rambai dan sekitarnya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Dr. Cassidy Morris; Timbalan Pengarah Sektor Infrastruktur, Ir. Wisil Lichok serta Pegawai Daerah Subis, Norlila Ulis.
