Perkukuhkan hak pekerja, Sarawak laksana pindaan Ordinan Buruh Sarawak

KUCHING: Sarawak akan melaksanakan pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) bermula 1 Mei 2025, sebagai langkah memperkukuh hak pekerja dan menyelaraskannya dengan Akta Kerja 1955 serta standard antarabangsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, pindaan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keadilan dan amalan kerja yang adil kepada semua pekerja.

Antara pindaan utama termasuk perluasan perlindungan undang-undang kepada semua pekerja, cuti bersalin ditingkatkan kepada 98 hari, cuti paterniti berbayar selama tujuh hari serta pengurangan waktu kerja mingguan kepada 45 jam.

“Selain itu, pekerja juga diberi hak memohon susunan kerja fleksibel, menikmati perumahan pekerja yang lebih baik dan membuat aduan jika berlaku diskriminasi di tempat kerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa pindaan ini dirangka selepas perbincangan bersama kesatuan sekerja, majikan dan pertubuhan masyarakat sivil.

“Undang-undang hanya menyediakan asas; kejayaan bergantung kepada persefahaman dan kerjasama antara majikan dan pekerja,” tambahnya.

Sarawak juga akan menganjurkan perhimpunan Hari Pekerja peringkat negeri yang pertama pada 18 Mei 2025 yang akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.